KENAIKAN harga petrol dan diesel sekarang menyebabkan pemilik kenderaan mula beralih kepada gas asli kenderaan (NGV) sebagai alternatif, namun persoalannya ialah berapa banyak stesen minyak di negara ini yang membekalkan NGV?
Baru-baru ini, Petronas menyatakan hasratnya untuk menambah 59 stesen jualan NGV lagi pada tahun ini dan ia dianggap sebagai langkah bijak bagi memenuhi jangkaan permintaan yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga minyak.
Penambahan stesen jualan itu juga memperlihatkan kesungguhan Petronas terhadap isu berkaitan. Dari sudut lain ia turut memberikan ruang lebih luas bukan saja kepada pengguna untuk memudahkan mereka mengisi gas asli tanpa perlu beratur panjang, malah sebagai pemangkin, pemacu dan pembuka jalan kepada syarikat minyak lain untuk melakukan tindakan sama, iaitu sekurang-kurangnya menyediakan satu stesen NGV di premis masing-masing.
Pada masa sama, kerajaan perlu memikirkan kaedah lain bagi menggalakkan rakyat menggunakan NGV, seperti memberi subsidi kepada pemilik kenderaan memasang tangki NGV supaya dapat digunakan sebagai alternatif bagi petrol dan diesel.
Selain itu, sudah tiba masanya bagi Proton mengeluarkan kereta menggunakan NGV, dengan mereka bentuk tangki yang sesuai, mungkin lebih kecil daripada tangki NGV yang ada. Tangki NGV sedia ada, agak besar sehingga memakan banyak tempat di ruang but.
Proton sudah tentu boleh mereka bentuk tangki lebih kecil, misalnya membuat tangki nipis tetapi memakan semua ruang yang ada di bahagian bawah tengah dan belakang. Ini adalah sebagai langkah jangka panjang bagi persediaan berikutan harga minyak yang tidak kelihatan harganya turun dalam tempoh terdekat ini. Malah, ia juga baik untuk alam sekitar kerana NGV tidak banyak mengeluarkan pencemaran udara selain rizab minyak negara kita juga bukan banyak sangat.
Rungutan orang ramai yang terpaksa menggandakan perbelanjaan bagi bahan api serta barang keperluan lain adalah hakikat yang ditanggung mereka. Namun, aktiviti seharian perlu diteruskan walau dalam keadaan perit, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Mana tidaknya, setiap hujung bulan, sebaik saja gaji diterima, perkara pertama dilakukan ialah melangsaikan pelbagai jenis hutang dan membeli keperluan harian.
Dalam pada menunggu apakah bentuk rebat, subsidi dan insentif lagi yang bakal diumumkan kerajaan, rakyat perlu merancang perbelanjaan sendiri dalam mengubah gaya hidup mereka. Senario kenaikan harga petrol dan diesel menjadi fenomena global. Cuma, keadaan negara ini masih terkawal dan tiada rusuhan besar-besaran berlaku seperti negara lain. Di Thailand, umpamanya 120,000 pemilik trak melakukan bantahan setengah hari, kelmarin menuntut kerajaan membantu mereka berikutan kenaikan harga minyak termasuk mengenakan potongan sebanyak tiga bath (29 sen) bagi setiap liter diesel selama enam bulan serta pinjaman mudah untuk menukar enjin kepada penggunaan NGV.
Bagi rakyat, pengangkutan, tidak kira apa juga jenisnya sama ada bot, motosikal, kereta, bas dan kapal terbang memerlukan penggunaan bahan bakar sebagai penggerak utama. Justeru, kenaikan harga minyak memberi kesan menyeluruh kepada hampir semua sektor.
Tidak mustahil, dalam keadaan sekarang penggunaan bahan bakar alternatif wajar difikir secara serius supaya tidak terlalu bergantung kepada petrol atau diesel. Harga semakin meningkat mengikut harga pasaran dunia menambah tekanan kepada semua pihak.
Antara alternatif yang boleh diperluas dan diterokai secara besar-besaran di negara ini ialah menerusi penggunaan gas asli dan biodiesel, selain perlu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan angin untuk keperluan kepada sektor lain. Yang pasti Malaysia kaya dengan sumber berkenaan.
Pada masa ini, penggunaan NGV, contohnya bagi kegunaan kenderaan persendirian dan pengangkutan awam masih terlalu rendah, walaupun beberapa kajian jelas membuktikan banyak manfaatnya, iaitu tidak saja bersih dan mesra alam sekitar, mengurangkan karbon monoksida, lebih ringan, tidak berwarna dan berbau selain dapat mengelak sesak nafas apabila terhidu berbanding bahan bakar lain seperti petrol dan diesel.
Penggunaan NGV mula digunakan ketika Sukan Komanwel (SUKOM ‘98) di negara ini apabila bantuan subsidi diberi kepada teksi untuk menukar sistem petrol kepada sistem NGV. Kajian turut menunjukkan penggunaan NGV pada teksi juga mampu mengurangkan pengeluaran karbon monoksida 64 peratus serta hanya mengeluarkan 25 peratus nitrogen oksida dan hidrokarbon.
Sejak 1997, Petronas dilaporkan menyuntik RM450 juta bagi mengekalkan harga gas asli pada kadar rendah bagi memberi manfaat kepada 33,058 kenderaan yang menggunakan bahan api itu, sebahagian besarnya teksi.
Apa yang paling menarik, harga NGV dijual lebih murah, iaitu hanya 68 sen seliter dan kadar itu dijangka kekal walaupun permintaannya dijangka melonjak berikutan semakin ramai pengguna kenderaan beralih kepada bahan api itu sejak kenaikan harga petrol dan diesel.
Itu adalah jaminan diberikan oleh Presiden merangkap Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Tujuan utama pengenalan NGV, bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia untuk menyelesaikan isu alam sekitar kerana gas tanpa partikel enap cemar adalah alternatif kepada petrol,” kata Mohd Hassan, seperti dilaporkan baru-baru ini.
Dilema yang menghantui pengguna ialah perlu memasang tangki untuk NGV bagi membolehkan mereka mengisi gas asli. Harga pemasangan tangki itu melebihi RM3,000. Meskipun mahal, bagi jangka panjang ia lebih menguntungkan dengan kadar 68 sen seliter berbanding bahan api lain yang jauh lebih tinggi dan sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan sehingga 70 peratus.
Kerajaan sudah memberi rebat RM625 secara tunai kepada pemilik kenderaan kuasa kuda 2,000 cc ke bawah serta RM150 kepada pemilik motosikal bawah 250cc. Walaupun ramai pihak menyatakan pembayaran itu tidak setimpal dengan kadar penggunaan bulanan, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan rakyat.
Alternatif lain, penjimatan penggunaan petrol boleh juga dilakukan menerusi banyak cara dan ada tips tertentu yang boleh diamalkan pengguna sendiri. Sejajar dengan kemajuan dunia teknologi ini, penggunaan enjin hybrid ke atas kenderaan juga mampu mengurangkan penggunaan bahan itu kerana ia dipercayai menggunakan dua atau lebih gabungan sumber kuasa, iaitu bahan api dan kuasa elektrik untuk menggerakkan kenderaan.
Sistem hybrid itu sudah diguna pakai kepada kenderaan lain, seperti Honda Motor Co Ltd dari Jepun yang turut dilihat dapat mengurangkan pergantungan kepada sumber bahan api fosil seperti gas atau minyak. Sumber: Dipetik sepenuhnya dari BH OnlineLabel: NGV, petrol, tenaga solar |